PEMANDANGAN dari udara keadaan Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid. FOTO Fathil Asri
PEMANDANGAN dari udara keadaan Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid. FOTO Fathil Asri
Mohamed Farid Noh


PENDUDUK yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Simpang Renggam dekat Kluang, bimbang sekiranya ia dilanjutkan susulan peningkatan kes positif koronavirus baharu (Covid-19) di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Abd Taib Abu Bakar berkata, ia antara isu utama yang dibangkitkan penduduk kepadanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata, penduduk akur dan patuh dengan arahan PKPD sehingga 9 April nanti, namun laporan berita semalam mengenai peningkatan jumlah pesakit positif Covid-19 di Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid merisaukan mereka.

“Mereka membangkitkan sama ada PKPD akan dilanjutkan dengan perkembangan sebegitu.

“Sebahagian besar penduduk di kawasan terjejas adalah pekebun kelapa sawit dan nanas, jika PKPD dilanjutkan, semua hasil mereka termasuk kelapa sawit dan nanas akan terbiar di ladang.

“Bagaimanapun, mereka akur jika PKPD hanya satu-satunya jaminan keselamatan penduduk malah berharap rantaian Covid-19 putus sekali gus membolehkan mereka kembali menjalani kehidupan biasa,” katanya dihubungi, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, kawasan PKPD membabitkan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid merekodkan 97 kes positif semalam berbanding 89 kes kelmarin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 6:09 PM