Mohamed Farid Noh


SEBANYAK 11 laluan tikus di dua kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Simpang Renggam, Kluang dikawal dan ditutup sepenuhnya.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata, langkah itu bagi memastikan dua kawasan PKPD itu tidak dibolosi oleh penduduk dan orang luar.

Katanya, seramai 181 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikerahkan membuat kawalan di dua kawasan PKPD itu bagi memastikan tiada akses pergerakan keluar masuk sepenuhnya sehingga perintah berkenaan berakhir.

“Pasukan Gerakan Am (PGA) dikerahkan bagi mengawal 11 laluan tikus yang menghubungkan dua kawasan PKPD itu dengan kawasan lain bagi memastikan ia tidak dibolosi.

“Dua kawasan PKPD itu dikelilingi ladang sawit dan nanas dengan 11 laluan tikus itu membabitkan jalan ladang atau kebun.

“Malam tadi hanya 81 anggota dan pegawai membuat kawalan di dua kawasan PKPD berkenaan, namun hari ini seramai 100 lagi dikerahkan membuat kawalan dengan tiga penggiliran tugas selama 24 jam.

“Sekatan jalan raya di laluan utama kawasan PKPD berkenaan juga ditambah menjadi tujuh lapisan hari ini berbanding hanya lima malam tadi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, malam tadi dilaporkan mengumumkan, dua kawasan penduduk di Simpang Renggam, Johor menjadi lokasi pertama dikenakan PKPD mulai tengah malam ini selepas 61 penduduknya dikesan positif Covid-19.

Dua kawasan itu membabitkan Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang.

Perintah PKPD membabitkan 3,570 orang penduduk tempatan terdiri daripada 650 keluarga di dua kampung berkenaan.

Mengulas lanjut, Ayob Khan, berkata semua pegawai dan anggota yang ditugaskan di dua kawasan PKPD itu akan menjalani proses menyahkuman yang dilakukan ATM setiap kali giliran penugasan mereka berakhir sebagai langkah berjaga-jaga.

Beliau berkata, menerusi siasatan awal peningkatan mendadak kes positif wabak Covid-19 di kawasan berkenaan mempunyai kaitan dengan kluster tabligh Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur.

“Ya mungkin ada faktor kenduri di dua kawasan berkenaan yang menyebabkan kes positif Covid-19 tinggi di situ, ” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 6:25 PM