GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Yusmizal Dolah Aling

PERSATUAN Nelayan Kebangsaan (Nekmat) menegaskan bahawa bekalan ikan masih mencukupi walaupun kekurangan nelayan ke laut berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan.

Pengurus Besar Nekmat Azrin Shah Ismail berkata, setakat ini tiada masalah bekalan walaupun PKP memberi kesan kepada aktiviti nelayan di seluruh negara.

Menurutnya, perkara itu berlaku kerana nelayan tidak dapat menjual ikan kepada peraih kerana tidak dibenarkan berada di tempat pendaratan seperti sebelum ini atas alasan penjarakan sosial.

Katanya, keadaan itu menjejaskan kira-kira 70 peratus nelayan di negara ini yang tidak berani menanggung risiko dengan mengeluarkan kos operasi sedangkan hasil tidak boleh dijual.

“Sepanjang PKP ini, nelayan menghadapi masalah pemasaran. Ada ikan dibawa naik tetapi tak boleh dijual seperti biasa.

“Kami termasuk dalam perkhidmatan penting, jadi tidak ada halangan keluar menangkap ikan. Yang ada hanyalah masalah pemasaran selepas ikan didaratkan.

“Kalau kita nak guna khidmat pengangkutan pun, tidak ramai yang mahu bergerak kerana sekatan jalan raya dan sebagainya menyebabkan bekalan tidak boleh sampai ke pasaran.

“Bagi mengatasi masalah itu, Nekmat mengambil insiatif untuk menggunakan kaedah penghantaran seperti diguna pakai banyak pihak ketika ini.

“Penghantaran itu boleh dilakukan dari rumah ke rumah,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, anggaran bekalan ikan di Lembah Klang saja berjumlah 700,000 tan metrik untuk memenuhi keperluan kira-kira lima juta pengguna.

Katanya, sebagai alternatif pengguna boleh menggunakan makanan berasaskan ikan dalam tin seperti sardin dan produk lain sementara dalam tempoh PKP.

“Pengguna juga boleh guna ikan segar beku termasuk yang dikeluarkan Nekmat. Jadi jangan bimbang, tidak ada masalah dari segi bekalan, ia masih mencukupi,” katanya.

Ditanya kesan PKP kepada nelayan, beliau berkata, mereka mempunyai bantuan sara hidup RM250 sebulan tidak termasuk Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang memperuntukkan RM100,000 untuk meningkatkan sistem pemasaran.

“Kita juga ada berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mengenai perkara ini dan berharap ada jalan penyelesaian untuk membantu nelayan memasarkan ikan mereka,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 2:40 PM