Pelindung Muka Kalis Kabus (Anti-Fog Face Shield) khusus bagi kegunaan petugas barisan hadapan dihasilkan oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
Pelindung Muka Kalis Kabus (Anti-Fog Face Shield) khusus bagi kegunaan petugas barisan hadapan dihasilkan oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

CIPTA Pelindung Muka Kalis Kabus (Anti-Fog Face Shield) khusus bagi kegunaan petugas barisan hadapan yang bertarung nyawa dengan wabak Covid-19.

Itu antara inovasi terbaru dihasilkan pihak Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) baru-baru ini sekaligus dapat digunakan petugas semasa berdepan pandemik Covid-19.

Timbalan Naib Canselor Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (PPPI) UPNM, Brigedier Jeneral Prof. Ir Dr. Norazman Mohamad Nor berkata, produk Pelindung Muka Kalis Kabus itu mampu melindungi pemakainya daripada jangkitan virus Covid-19.

Menurutnya, ia adalah inisiatif dan hasil kepakaran warga PPPI dengan kerjasama Pusat Kesihatan UPNM.

“Apa yang menarik, penuntut UPNM yang masih berada di kampus sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga membantu untuk menghasilkan produk berkenaan.

“Penyediaan pelindung muka ini menggunakan teknologi salutan lapisan anti-kabus untuk mengelakkan bahagian plastik dari berkabus ketika melalui perubahan suhu dan ketika bernafas,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan mampu menghasilkan 100 unit pelindung muka setiap hari.

“Produk ini boleh digunakan petugas-petugas kesihatan kita yang saban hari bertarung nyawa bagi memastikan virus ini dapat terus dibendung.

“Malah UPNM akan terus komited dalam menghasilkan produk inovasi dan kajian terbaru yang boleh digunapakai dalam menangani Covid-19,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 11:32 PM