MICHEAL Chong menyerahkan sumbangan kepada Datuk Seri Mazlan Lazim ( tiga dari kiri ).
MICHEAL Chong menyerahkan sumbangan kepada Datuk Seri Mazlan Lazim ( tiga dari kiri ).
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

MENYEDARI kepentingan memastikan petugas barisan hadapan tidak dijangkiti virus Covid-19, Kelab Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Kehormat dan Bersekutu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyumbang pelindung muka, topeng muka dan pembersih tangan kepada anggota polis.

Sumbangan itu disampaikan Penasihat Kelab yang juga Pesuruhjaya Kehormat RELA Datuk Seri Michael Chong dan Pengerusi Kelab, Timbalan Pesuruhjaya Kehormat RELA Datuk Seri Chai Kee Kan kepada Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim tadi.

Ternyata sumbangan Kelab RELA Kehormat itu dianggap satu keperluan utama dan disalurkan pada waktu yang tepat terutamanya alat pelindung muka.

Mazlan jelas amat menghargai sokongan Kelab RELA Kehormat dan Bersekutu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menyedari isu keselamatan pihak polis di lapangan.

Difahamkan sehingga kini, seramai 66 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) disahkan positif Covid-19 manakala seramai 1,225 warga PDRM juga kini sedang menjalani kuarantin di kediaman masing-masing setakat ini.

Sementara itu Michael Chong yang juga Ketua Jabatan Perkhidmatan dan Pengaduan Awam MCA meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti pemerdagangan manusia selain kewujudan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang dibimbangi menyebarkan virus Covid-19.

Menurutnya, perkara itu dibuktikan apabila pihak berkuasa mendapati ramai warga asing yang mendiami Bangunan Selangor Mansion dan Bangunan Malayan Mansion di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur positif Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 6:33 PM