LEFTENAN Kolonel Ahmad Rizakee menyerahkan sumbangan pertama Tabung Alumni UPNM Prihatin Covid-19 kepada Leftenan Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal. FOTO IHSAN UPNM
LEFTENAN Kolonel Ahmad Rizakee menyerahkan sumbangan pertama Tabung Alumni UPNM Prihatin Covid-19 kepada Leftenan Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal. FOTO IHSAN UPNM
Nurul Hidayah Bahaudin


PERSATUAN Alumni Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar Alumni UPNM mengambil inisiatif menyediakan Tabung Bantuan Covid-19 bagi membolehkan alumni menyumbang kepada penuntut universiti berkenaan.

Bantuan daripada tabung berkenaan diberikan kepada penuntut yang masih berada dalam dan luar kampus serta penuntut golongan B40.

Penyerahan pertama sumbangan Tabung Alumni UPNM Prihatin Covid-19 disampaikan oleh Presiden Persatuan Alumni UPNM Leftenan Kolonel Ahmad Rizakee Ahmad Satibi kepada Naib Canselor UPNM Leftenan Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal, hari ini, yang turut dihadiri pihak pengurusan UPNM.

Abdul Halim mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Alumni UPNM yang membantu dalam menghadapi isu Covid-19.

“Saya menyarankan supaya pihak alumni menghulurkan bantuan melalui sumbangan komputer kepada penuntut golongan B40 bagi tujuan pembelajaran secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Persatuan Alumni UPNM turut menyerahkan sumbangan kurma kepada petugas barisan hadapan UPNM sempena bulan Ramadan yang bakal tiba.

UPNM juga berusaha menghasilkan pelbagai produk dan perkhidmatan berkaitan pandemik ini untuk kegunaan petugas barisan hadapan.

Antara produk dihasilkan adalah cecair pembasmi kuman, pelindung muka dan kotak intubasi yang disumbangkan kepada Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, Hospital Serdang dan Hospital Besar Melaka.

UPNM kini dalam usaha untuk menghasilkan sut peralatan perlindungan diri (PPE) berbentuk perlindungan penuh, penutup kepala serta pelindung kasut.

UPNM sentiasa komited dalam usaha memberikan bantuan dan sokongan penuh kepada kerajaan dan agensi lain bagi menangani penularan wabak Covid-19 melalui sumbangan produk dan perkhidmatan hasil daripada penyelidikan serta inovasi UPNM sendiri.

href="https://www.hmetro.com.my/perintahkawalanpergerakan">Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 8:14 PM