MD Najib (kiri) berpakaian sut keselamatan persediaan wabak Covid-19 bersama rakannya. FOTO Ahmad Ismail
MD Najib (kiri) berpakaian sut keselamatan persediaan wabak Covid-19 bersama rakannya. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


“KAMI pernah menggali kubur berjam-jam lamanya namun tidak pernah merasai cabaran berpakaian seolah-olah ‘angkasawan’ untuk persediaan pengurusan jenazah.

“Jadi hargailah pengorbanan kakitangan kesihatan yang terpaksa memakai sut ini dalam keadaan penuh cabaran untuk membantu menyelamatkan nyawa mereka yang terkesan dengan wabak Covid-19,” kata penggali kubur yang juga kakitangan Pejabat Kadi Segamat, Md Najib Teh, 53.

Dia yang menetap di Kampung Berata, Segamat, berkata, kebiasaan dia akan melakukan kerja menggali bersama seorang lagi rakan, Abd Rahim Abu Lias,50.

“Pelbagai pengalaman dilalui sepanjang menjadi penggali kubur selama 20 tahun tetapi sebelum ini saya hanya memakai baju T dan berseluar panjang saja,” katanya yang ditemui ketika mencuba sut keselamatan persediaan wabak Covid-19, hari ini.

Md Najib berkata, dia dan rakannya cuba membiasakan diri dengan memakai sut itu dan melakukan tugas menggali kubur.

“Rasa panas dan bahang memakai sut menutup dari kepala hingga keseluruhan badan menyebabkan kita mudah berpeluh dalam waktu singkat. Saya dapat bayangkan bagaimana kakitangan kesihatan yang perlu merawat pesakit Covid-19 yang mengejar masa memberikan rawatan,” katanya.

Menurutnya, mereka juga terpaksa memakai penutup hidung dan mulut selain mengambil masa antara tiga hingga empat jam menyiapkan lubang kubur.

Dia berkata, setakat ini dia bersyukur semua tugasan berjaya diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 6:49 PM