Redzuan Muharam


Kluang: Sejak lapan tahun lalu, Mohd Sahrizam Md Salleh ketepikan perasaan takutnya dengan mencabar diri menjadi penggali kubur.

Biarpun tiada pengalaman, Mohd Sahrizam, 31, yang menetap di Kampung Muhibbah Paloh, di sini, belajar sehingga mahir dan kini belum terfikir untuk berhenti melakukan tuntutan fardu kifayah itu.

Bercerita lanjut, anak ke-12 daripada 15 adik beradik itu berkata, tugas sebagai penggali kubur bukan kerjaya tetapnya tetapi dilakukan secara sambilan kerana kerja hakikinya adalah tukang rumah.

Menurutnya, bukan upah diharapkan sebaliknya dia melakukan pekerjaan itu dengan ikhlas kerana minat dan bersyukur majikannya faham serta beri kebenaran untuknya pergi menggali kubur setiap kali khidmatnya diperlukan.

"Pengalaman pertama saya adalah ketika kakak meninggal dunia pada 2013. Oleh kerana tiada pengalaman, saya diajar buat bebola tanah tanah atau 'bantal' jenazah dahulu sebelum diberi peluang menggali kubur serta mengebumikan jenazah.

"Mulanya memang takut sehingga beberapa kali terbayangkan jenazah yang sudah dikebumikan selepas pulang ke rumah selain terakam gambar kelibat di tanah perkuburan namun lama kelamaan perasaan itu (takut) hilang kerana sudah terbiasa," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

MOHD Sahrizam ketika menggali kubur (kiri) dan PPE dipakai ketika melakukan tugas selepas pandemik Covid-19 (kanan). FOTO Ihsan pembaca
MOHD Sahrizam ketika menggali kubur (kiri) dan PPE dipakai ketika melakukan tugas selepas pandemik Covid-19 (kanan). FOTO Ihsan pembaca

Mohd Sahrizam berkata, banyak pengalaman ditimba sepanjang menjadi penggali kubur dan bersyukur kerana ada di antaranya yang memberinya keinsafan.

Bagaimanapun, ada juga pengalaman mengendalikan jenazah yang memberinya dorongan untuk berbuat lebih banyak kebaikan sebagai persediaan sebelum tiba masanya dijemput Ilahi.

"Dulu ada tapak perkuburan lama sebelum mayat di situ dipindahkan ke sini (Tanah Perkuburan Islam Bandar Paloh). Ketika proses pemindahan, saya lihat ada satu mayat lelaki dipercayai warga Indonesia masih dalam keadaan sempurna seperti baru dikafankan dan menurut orang kampung, si mati dulunya guru mengaji.

"Pernah juga saya terjumpa ular berwarna hitam selain menggali kubur dalam keadaan liang lahad berair namun anggap ia sebagai satu cabaran. Pengalaman ketika pandemik juga tidak kurang hebatnya kerana perlu mengebumikan jenazah pesakit Covid-19 dengan memakai sut pakaian perlindungan diri (PPE).

"Bukan semua orang dapat pengalaman begini dan itu yang menjadikan tugas penggali kubur istimewa kerana ia beri peluang kepada saya muhasabah diri dan cuba perbaiki kelemahan sebagai hamba-Nya setiap hari," katanya.

MOHD Sahrizam mengambil upah sebagai penggali kubur sambilan sejak lapan tahun lalu. FOTO Ihsan pembaca
MOHD Sahrizam mengambil upah sebagai penggali kubur sambilan sejak lapan tahun lalu. FOTO Ihsan pembaca

Berhubung rutinnya yang gemar bersiaran langsung di TikTok dari tanah perkuburan, Mohd Sahrizam berkata, tidak semua perkara dipertontonkan kepada umum di platform berkenaan.

"Saya aktifkan akaun TikTok Disember tahun lalu dan mula kumpul pengikut selepas kerap buat siaran langsung ketika menggali kubur.

"Ada baiknya juga platform TikTok kerana di situ, saya dapat tunjuk bagaimana gali kubur dan mereka yang menonton juta dapat doakan si mati. Ramai beri maklum balas positif namun ada juga yang persoalkan tindakan saya bersiaran langsung di tanah perkuburan.

"Niat saya untuk beri kesedaran kepada semua bahawa mati itu pasti malah ada ahli keluarga berterima kasih kerana dapat menonton siaran langsung saya ketika mereka tidak berkesempatan ke tanah perkuburan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 8:00 PM