YUNUS  (tengah), Khairul (kanan) dan Saringat membersihkan kawasan kubur.
YUNUS (tengah), Khairul (kanan) dan Saringat membersihkan kawasan kubur.
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: "Dengan cangkul dan perejang berharga RM70, saya sudah menggali lebih 500 kubur selepas diberi kepercayaan sejak 40 tahun lalu," kata Md Yunus Cangkat, 81.

Md Yunus berkata, untuk kekal sihat beliau menghabiskan masa di Tanah Perkuburan Islam Telok Piai dengan pelbagai aktiviti antaranya menjaga kebersihan kawasan selain kerja mengorek dan menggali kubur.

"Perkara fardhu kifayah ini ibarat 'ubat' dan 'senaman' kepada saya. Selagi tenaga masih ada, khidmat akan diteruskan kerana ia adalah kerja yang mulia.

"Tidak kira siang atau malam, sudah menjadi tanggungjawab untuk menyelesaikan urusan jenazah hingga ke akhir," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Untuk rekod, bapa kepada tiga anak berusia 38 hingga 29 tahun itu pernah menggali kubur untuk jenazah pesakit Covid-19 seramai 21 orang dalam tempoh sebulan ketika wabak itu 'mengganas' sekitar 2020.

Menurut Md Yunus, kisahnya bermula apabila dia sering membantu penggali kubur yang terdahulu menjalankan tanggungjawab itu di kawasan sekitar.

"Apabila mereka sudah berusia dan meninggal dunia, tinggal saya sahaja. Tidak lama selepas itu, pihak Masjid Jamek Sultan Ibrahim (MJSI) melantik saya sebagai penggali kubur sehingga ke hari ini.

BERBEKAL cangkul, perejang berharga RM70.
BERBEKAL cangkul, perejang berharga RM70.

"Tiada yang susah mahupun senang. Untuk menggali dan mengorek kubur memakan masa sehingga dua jam dengan menggunakan peralatan seperti cangkul atau penyodok dan perejang, bergantung kepada keadaan tanah," katanya.

Md Yunus berkata, dia bersyukur keluarganya menyokong pembabitan dalam kerja menggali kubur dan mengakui kerja dilakukan adalah ikhlas kerana Allah SWT.

"Meskipun tugas ini tidak terasa letih dan penat termasuk cuaca hujan atau panas, tetapi niat dan amal itu haruslah betul dan tidak disalahgunakan," katanya.

Bagi rakannya, Khairul Zaman Tukiran, 46, selepas berhenti kerja sebagai operator jalan di Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Klang, dia merasa tenang selepas bertukar bidang iaitu penggali kubur.

"Terus-terang beritahu kehidupan saya tidak suka dikongkong. Selepas berhenti kerja, saya tidak menyesal sekali pun, bahkan menawarkan diri untuk mengorek dan menggali kubur.

"Alhamdulillah, keluarga menyokong saya dalam bidang ini kerana ia dekat dengan mereka. Selagi nyawa dikandung badan, selagi itulah kami akan jalankan tanggungjawab," kata bapa kepada lima anak berusia 23 hingga 18 tahun.

YUNUS  (kiri) bersama Khairul menunjukkan buku daftar kematian ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Telok Piai, semalam.
YUNUS (kiri) bersama Khairul menunjukkan buku daftar kematian ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Telok Piai, semalam.

Khairul Zaman berkata, individu yang ingin menjadi penggali kubur seharusnya tidak perlu berasa takut sebaliknya perlu tenang dalam melakukan fardhu kifayah itu.

"Kerja gali kubur ini tidak tentu waktu, adakalanya siang...adakalanya malam. Yang pergi tetap pergi, kita harus tunaikan tanggungjawab itu.

"Jika ada peluang, rebut segera kerana pekerjaan ini mulia di sisi Allah SWT. Sepanjang dua tahun saya berkhidmat, belum pernah orang cakap yang bukan-bukan pasal tugas ini," katanya.

Saringat Ahmat, 47, pula memaklumkan tiada yang aneh atau pelik sepanjang tiga tahun bekerja sebagai penggali kubur.

"Kalau pasal tanah keras atau lembut, itu biasa. Cuma yang penting kerjasama dari semua rakan-rakan ketika mahu menggali kubur.

"Tiada yang berat mahupun ringan kerana apabila dilakukan secara bersama, ia memudahkan semua termasuk jenazah yang akan dikebumikan," katanya.

Untuk rekod, Tanah Perkuburan Islam Telok Piai adalah sepenuhnya di bawah seliaan Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Kuala Selangor.

Tanah wakaf ini telah diwartakan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan dibuka pada awal tahun 1990-an dengan keluasan 8.7 ekar (3.5 hektar)

Kawasan ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu tanaman wakaf kelapa sawit dan tapak perkuburan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 6:59 AM