SEBANYAK 40 siri sumbangan sudah diedarkan ke seluruh negara oleh sukarelawan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) sejak awal Mac lalu.
SEBANYAK 40 siri sumbangan sudah diedarkan ke seluruh negara oleh sukarelawan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) sejak awal Mac lalu.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

PRIHATIN dan menyedari besarnya pengorbanan dilakukan petugas barisan hadapan (frontliner) Covid-19, pertubuhan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) `turun padang’ bagi menyalurkan bantuan terus kepada wira negara ini.

Presiden Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care), Zulkifli Wahijan berkata, usaha itu bertitik tolak kepayahan dilalui petugas di hospital dalam menangani jumlah pesakit Covid-19 yang semakin meningkat.

Menurutnya, pemberian bantuan disalurkan Muslim Care membabitkan makanan, minuman, kipas, khemah, meja, alat penyukat suhu, topeng penutup mulut dan hidung, baju hujan dan pelbagai kemudahan terdesak yang amat diperlukan petugas di hospital bermula 13 Mac lalu.

“Pasukan khas ditubuhkan Muslim Care mengedarkan bantuan ini ke Hospital Sungai Buloh, Pejabat Kesihatan Daerah Gombak, Klinik Kesihatan Kuang, Klinik Kesihatan Sungai Buloh, Hospital Serdang, Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu, pusat kuarantin pesakit Covid-19 di Nibong Tebal, Pulang Pinang.

“Team sukarelawan kami turut menyerahkan makanan kering ke Unit Sajian dan Dietetik Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, Johor untuk memudahkan proses agihan kepada anggota barisan hadapan,” katanya.

Menurutnya, sukarelawan Muslim Care Malaysia turut menyerahkan sumbangan bateri dan cerek kepada Hospital Sultan Ismail, di Johor.

“Selain itu bantuan pek makanan turut disumbangkan kepada anggota polis dan tentera yang terbabit dalam penugasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Menurutnya, sehingga kini, lebih RM100,000 sudah dibelanjakan hasil pemberian dermawan yang menyerahkannya kepada Muslim Care Malaysia.

Beliau berkata, sumbangan berkenaan yang dilakukan secara konsisten turut membabitkan pemberian kepada keluarga miskin di seluruh negara.

“Malah kami pergi ke PPR Taman Manggis, di Georgetown, Pulau Pinang, Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor untuk mengedarkan pek makanan kering kepada beratus keluarga sama ada berbangsa Melayu, Cina dan juga India,” katanya.

Beliau berkata, individu yang mahu turut sama menyumbang untuk Tabung ‘We Care Covid-19’ boleh menyalurkannya melalui nombor akaun Maybank Muslim Care Malaysia 564490413882.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 2:11 PM