Sukarelawan mengagihkan pek makanan kepada pelarian.
Sukarelawan mengagihkan pek makanan kepada pelarian.
Daripada Yusmizal Dolah Aling dan Fairus Anuar di Cox's Bazar

HUJAN renyai-renyai di sekitar Cox's Bazar tidak menghalang pelarian Rohingya di Kem Kutupalong mendapatkan sumbangan pek makanan daripada Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care).

Biarpun terpaksa menggendong anak kecil, dipapah dan bertongkat, mereka tidak mahu melepaskan peluang untuk mengambil bantuan yang disumbangkan penderma untuk Misi Kemanusiaan Untukmu Rohingya kali ini.

Pada mulanya, keadaan sedikit kecoh apabila pelarian berebut untuk mendapatkan pek yang berisi beras, garam, bawang, minyak masak, cili dan sabun, namun dikawal anggota tentera.

Presiden Muslim Care Zulkifli Wahijan berkata, pihaknya bersyukur dapat menyerahkan 600 pek barangan hasil sumbangan rakyat Malaysia di sini dan ia berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

"Seperti semalam, kita juga meneruskan rawatan percuma kepada pelarian yang dikendalikan lima doktor dan sukarelawan misi kali ini.

"Jumlah pelarian yang begitu ramai menyebabkan kita terpaksa memberi ruang kepada mereka yang kritikal terlebih dulu selain bayi dan warga emas," katanya.

Misi yang masuk hari ketiga ini turut membabitkan serahan telaga tiub di sekitar kem di sini yang dibina mengikut spesifikasi terbaru bersesuaian dengan keadaan semasa.

Justeru beliau mengalu-alukan sumbangan rakyat Malaysia untuk menjayakan misi ini melalui akaun Muslim Care 564490413882 (Maybank), 14014010147470 (Bank Islam) atau hubungi Setiausaha Agung Muslim Care Zakaria Abd Latif di talian 0126935938.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 4:23 PM