GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin


LELAKI berusia 39 tahun berdepan detik cemas apabila motosikal ditunggang dihimpit dua motosikal sebelum disamun di Tali Air 6, Ban 2, Sekinchan, semalam.

Dalam kejadian 4 petang itu, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Parit 7 menghala ke Taman Ria.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, motosikal Yamaha Y100 mangsa dihimpit dua motosikal dinaiki tiga lelaki.

“Salah seorang suspek yang juga pembonceng bertindak mengambil beg mangsa dalam raga motosikal sebelum melarikan diri.

“Dua motosikal digunakan suspek jenis Yamaha Lagenda dan skuter yang mana nombor pendaftaran tidak dapat dikenalpasti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Agus Salim berkata, kejadian itu mengakibatkan mangsa kerugian RM1,870 termasuk dokumen peribadi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 1:19 PM