KEADAAN rumah anggota bomba yang musnah dalam kebakaran di Jalan Ampang Jajar, Alor Setar. FOTO Zuliaty Zulkiffli
KEADAAN rumah anggota bomba yang musnah dalam kebakaran di Jalan Ampang Jajar, Alor Setar. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli

ANGGOTA bomba melecur pada perut, lengan dan belakang badan ketika memadam api di rumahnya dalam kebakaran di Jalan Ampang Jajar, Alor Setar, hari ini.

Ketika kejadian 3.30 petang itu, mangsa Mohd Izaham Md Isa, 39, dikatakan mahu naik ke tingkat atas rumah untuk mengambil barang sebelum ternampak api.

Kakak mangsa, Noraziah, 43, berkata dia terkejut apabila adiknya menjerit dan menyuruhnya menghubungi pasukan bomba kerana ternampak api.

Katanya, ketika kejadian mereka berlima termasuk adik, abang dan kakaknya serta seorang anak saudara berada dalam rumah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Izaham cuba nak padam api, tetapi belum sempat berbuat apa-apa, api sudah merebak keliling rumah.

“Kami termasuk Izaham berjaya menyelamatkan diri dengan keluar dari rumah sebelum melihat tangan kirinya melecur,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Katanya, adiknya diberi rawatan awal oleh anggota bomba yang tiba di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.43 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja diketuai Penolong Penguasa Bomba Mohd Faizol Izwan Hang Tuah dihantar ke lokasi.

Katanya, operasi turut dibantu BBP Alor Setar, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Seberang Nyonya, PBS Jalan Kundor, PBS Kg Berjaya, PBS Kuala Kedah dan PBS Pokok Sena.

“Setiba di lokasi didapati anggota BBP Amanjaya, Sungai Petani mengalami kecederaan dengan melecur 30 peratus sebelum dihantar ke HSB untuk rawatan.

“Rumah berkenaan mengalami kerosakan kira-kira 90 peratus selain sebuah kereta Proton Wira turut musnah,” katanya.

Katanya, setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 6:49 PM