BERNAMA

GARA-gara tidak mahu dicekup polis kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seorang lelaki sanggup bertindak terjun ke dalam laut dan berenang kira-kira 50 meter di jeti pendaratan ikan di Jelutong, Georgetown, hari ini.

Malah dia juga enggan naik ke darat walaupun dipujuk beberapa kali manakala 13 rakannya berusia 21 hingga 70 tahun yang cuba melarikan diri berjaya ditangkap polis dalam Ops Covid-19 oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut selepas mereka didapati sedang melepak di sebuah pondok nelayan di jeti itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam operasi bermula 5 petang itu, polis turut menahan tiga lagi lelaki termasuk seorang warga Bangladesh di kawasan Projek Perumahan Rakyat Termiskin Taman Manggis, kerana melepak di kawasan parkir motosikal dan memberi alasan menunggu rakan untuk mengambil komputer riba.

Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan lanjut mendapati mereka yang berusia 21 hingga 25 tahun itu hanya berkumpul di situ untuk berborak dan bukan mengambil komputer riba.

Soffian berkata, selain itu, polis turut menahan empat lelaki berusia 20 hingga 40 tahun kerana menjalankan aktiviti menangkap burung di kawasan hutan di Tanjung Tokong.

Sementara itu, pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Superintendan Mohd Mustafa berkata, pihaknya menahan seramai 24 individu berumur antara 20 hingga 50 tahun di sekitar daerah itu dalam tempoh 24 jam kerana ingkar arahan PKP.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 12:02 AM