GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Seorang wanita warga Thailand berusia 38 tahun ditahan selepas didapati membawa 105 kotak rokok seludup pada sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Pangkor di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, terdahulu, suspek yang memandu kereta Perodua Myvi dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika melalui SJR itu jam 8.30 malam.

"Pemeriksaan di tempat duduk penumpang menemui 105 kotak rokok pelbagai jenama.

"Kesemua rokok terbabit yang berjumlah lebih RM2,200 dirampas," katanya hari ini.

Menurut Soffian, siasatan mendapati, suspek bekerja sebagai peniaga dan memiliki pasport sah tempoh.

Beliau berkata, suspek mengaku membeli rokok itu untuk jualan di kedai runcitnya di Tanjong Tokong.

"Suspek mendakwa, ketika itu dia dalam perjalanan dari Tanjong Tokong ke rumahnya di Sungai Pinang.

"Suspek direman sehingga esok (15 Januari) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 4:05 PM