Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengenal pasti 30 tuntutan palsu dan salah guna dana Program Subsidi Upah (PSU) di beberapa negeri sejak program berkenaan dikuatkuasakan, April lalu.

Ketua Eksekutif PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, jumlah kes itu termasuk tangkapan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang pengarah urusan syarikat di Selangor yang mengemukakan dokumen palsu bagi permohonan PSU pada 7 Oktober lalu.

"Kes penyelewengan dilakukan 30 majikan terbabit dikenal pasti di beberapa negeri termasuk Kedah, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Johor, Pahang dan Sarawak.

"Kami turut menerima 281 aduan daripada pekerja yang memaklumkan bayaran dipohon majikan tidak sampai kepada mereka.

"Justeru, kami akan bekerjasama dan menyalurkan maklumat berkenaan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut berhubung perkara ini," katanya pada sidang media di Menara PERKESO, di sini, hari ini.

Mohammed Azman berkata, pihaknya juga ada mengesan percubaan majikan membuat permohonan palsu untuk Insentif Pengambilan Pekerja.

"Kami kesal dengan tindakan segelintir majikan yang mengambil kesempatan terhadap insiatif kerajaan bagi membantu mereka serta pekerja yang berdepan kesukaran akibat penularan Covid-19.

"Pertubuhan ini memandang serius isu penyelewengan dana PSU mahupun Insentif Pengambilan Pekerja dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan bantuan kerajaan," katanya.

MOHAMMED Azman pada sidang media. FOTO Fathil Asri
MOHAMMED Azman pada sidang media. FOTO Fathil Asri

Beliau menasihatkan mana-mana majikan yang ada membuat tuntutan palsu atau terbabit dalam penyalahgunaan bantuan kerajaan itu supaya menghubungi PERKESO bagi memulangkan kembali bayaran diterima.

"Bagi tujuan pemulangan kembali bayaran PSU atau Insentif Pengambilan Pekerja, majikan diminta untuk membuat bayaran menerusi akaun Maybank; 564427515459 (PERKESO SIP-Bayaran) dengan rujukan 'Bayaran Balik PSU/Insentif Pengambilan Pekerja.

"Bukti pembayaran maklumat bayaran balik perlu dikemukakan kepada PERKESO melalui email, [email protected]. Kami mengalu-alukan orang ramai untuk memberi maklumat berhubung penyelewengan kepada PERKESO atau pihak berkuasa," katanya yang memaklumkan identiti pengadu akan dirahsiakan.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, RM11.8 billion subsidi upah sudah disalurkan kepada 322,022 majikan di seluruh negara sehingga semalam.

"PSU adalah bantuan kewangan kepada majikan yang terjejas dari segi ekonomi akibat pandemik Covid-19 untuk membolehkan mereka meneruskan operasi tanpa pembuangan pekerja," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 11:55 AM