ABDUL Rahman Mohamad ketika melawat ladang rock melon di Kampung Sai Gua. FOTO Ihsan FAMA
ABDUL Rahman Mohamad ketika melawat ladang rock melon di Kampung Sai Gua. FOTO Ihsan FAMA
Mohd Rafi Mamat


LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang berusaha membantu seorang pengusaha tembikai wangi dengan membeli empat tan hasil pertanian itu yang dijangka dituai minggu depan.

Pengarah FAMA Pahang Noh Nik Wan berkata, usaha berkenaan dilakukan bagi mengelak kerugian ditanggung pekebun berkenaan yang tidak dapat memasarkan hasil berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, FAMA membeli tembikai wangi gred premium keluaran pekebun, Azeyzul Hamzah di Kampung Sai Gua di sini, yang mengusahakan ladang seluas lebih satu hektar menggunakan sistem harga lantai yang dipersetujui kedua belah pihak.

“Selain membeli, kami turut membantu mempromosi dan menjual secara atas talian yang semakin diterima dalam kalangan orang ramai.

“Orang ramai hanya perlu membuat pesanan dan hasil tani ini akan sampai ke rumah dalam beberapa hari.

“FAMA sentiasa berusaha untuk membantu pekebun terutama sepanjang PKP kerana golongan ini tidak dapat memasarkan hasil pertanian seterusnya menjejaskan pendapatan,” katanya.

Menurut beliau, sebelum ini, FAMA turut membeli tembikai pekebun di Kampung Ubai, Kuantan dengan harga lantai 70 sen sekilogram.

Beliau berkata, FAMA turut menyediakan kemudahan peti sejuk di beberapa daerah bagi menyimpan hasil pertanian yang sesuai.

“Pekebun atau petani yang berhadapan masalah pasaran perlu turut sama memikirkan kaedah terbaik bagi mengelak menanggung kerugian.

“FAMA akan turut membantu menyediakan kemudahan termasuk pengangkutan,” katanya.

Bagi Azeyzul, kesanggupan FAMA membeli empat tan tembikai wangi diusahakannya membantu mengelak kerugian.

“Sebelum ini, permintaan tembikai wangi begitu menggalakkan dan harganya juga tinggi. Namun disebabkan PKP, pasaran tidak dapat diperluaskan,” katanya yang menanam tembikai wangi menggunakan sistem fertigasi membabitkan 4,300 beg.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 6:41 PM