MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. FOTO Arkib NSTP.
MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. FOTO Arkib NSTP.
Baharom Bakar


GAJI Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu akan dipotong sebanyak 50 peratus selama dua bulan, mulai bulan depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hasil daripada potongan itu akan disumbangkan ke dalam tabung bantuan Cpvid-19 yang diwujudkan kerajaan negeri.

“Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disambung sehingga 14 April ini dijangka memberi kesan besar kepada aspek sosio-ekonomi rakyat di seluruh negara dan Terengganu.

“Saya merayu lebih ramai penderma termasuk pihak korporat dan syarikat swasta tampil membantu meringankan beban rakyat terjejas,” katanya melalui kenyataan di Facebook (FB) rasmi miliknya di Kuala Terengganu, hari ini.

Dr Ahmad Samsuri berkata, tabung bantuan Covid-19 ditubuhkan bagi memberi peluang kepada semua pihak tampil membantu rakyat yang terjejas berikutan penularan wabak itu.

Beliau berkata, bagi menunjukkan kesungguhan serta komitmen kerajaan kepada inisiatif itu, beliau serta 10 Exco negeri bersetuju memotong 50 peratus daripada dua bulan gaji untuk disumbangkan kepada tabung berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 4:31 PM