Mangsa patah tulang rusuk kiri, luka di bahagian atas bibir dan betis akibat dilanggar suspek. FOTO ihsan polis
Mangsa patah tulang rusuk kiri, luka di bahagian atas bibir dan betis akibat dilanggar suspek. FOTO ihsan polis
Ruwaida Md Zain


PADAH melanggar seorang anggota polis trafik yang bertugas ketika Penguatkuasaan OP Covid-19, seorang pekerja pendawaian dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, itu adalah kes pertama dituduh di daerah IPD Shah Alam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

“Suspek dituduh di Mahkamah Majistret Shah Alam pada hari ini dan mengaku bersalah di atas pertuduhan serta dijatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan dari tarikh tangkapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramsay berkata, dalam kejadian pada 20 Mac lalu, seorang anggota polis trafik IPD Shah Alam yang sedang bertugas dalam Penguatkuasaan OP Covid-19 dilanggar suspek yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.

“Kejadian ini berlalu yang mana mangsa dan dua lagi anggota trafik sedang menjalankan tugas di belakang bangunan IDCC Seksyen 15.

“Mangsa patah tulang rusuk kiri, luka di bahagian atas bibir dan betis.

“Suspek berumur 32 tahun berjaya ditangkap dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020,” katanya.

Justeru itu katanya, orang awam dinasihatkan agar memberikan kerjasama yang sepenuhnya dengan mematuhi setiap arahan yang diberikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh PKP ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 6:28 PM