MAYAT ditemui di dalam parit di Kampung 1 Malaysia, Pujut Padang Kerbau. FOTO Melvin Joni
MAYAT ditemui di dalam parit di Kampung 1 Malaysia, Pujut Padang Kerbau. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


BURUH ditemui mati di dalam parit di Kampung 1 Malaysia, Pujut Padang Kerbau, Miri, hari ini.

Mangsa dikenali Donny Dola, 40, ditemui orang awam yang kemudian memaklumkan kepada polis jam 1.15 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, mayat ditemui dalam keadaan terapung dengan masih memakai topi keledar.

"Mangsa dijumpai di dalam parit berair dalam keadaan tertiarap, masih bertopi keledar, memakai kemeja, berseluar jeans panjang tanpa kasut atau selipar.

"Pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati tiada sebarang kecederaan yang mempunyai unsur jenayah," katanya yang dihubungi, hari ini.

Meng Seah berkata, temubual dengan ahli keluarga memaklumkan kali terakhir mangsa pulang ke rumah pada Rabu lalu selepas makan malam pada jam 7 malam.

"Selepas itu, mangsa dikatakan keluar semula menggunakan motosikalnya dan tidak pulang sehingga hari kejadian.

"Motosikal mangsa dijumpai di kawasan belukar berdekatan," katanya.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Umum Miri untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 11:26 PM