FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Baharom Bakar


KERAJAAN akan memulangkan semula bayaran yuran taska dikendalikan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) yang sudah dibayar sebelum ini.

Pemulangan semula bayaran yuran bulanan kepada ibu bapa itu diputuskan susulan penutupan operasi taska dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Selasa lalu hingga akhir bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Pembangunan Keluarga & Masyarakat dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata semua 67 taska Permata Keluarga YPKT diarah tutup bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, kadar yuran dikenakan kepada ibu bapa untuk menghantar anak mereka di taska permata adalah sebanyak RM250 sebulan untuk penjagaan bayi berusia di bawah satu tahun adalah RM250 dan satu tahun hingga empat tahun adalah RM230.

Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Chukai berkata, kadar yuran hanya dikenakan mengikut bilangan hari kehadiran anak, sebelum penutupan taska Selasa lalu.

Jelasnya, pemulangan yuran akan diuruskan selepas tamatnya tempoh PKP.

Ketika mengulas mengenai gaji guru taska permata yang kebanyakan pekerja kontrak, Hanafiah menjelaskan, kerajaan negeri bersetuju untuk membayar gaji penuh kepada 743 guru termasuk yang bertugas secara kontrak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 5:23 PM