Ekhwan Haque Fazlul Haque


DRON dipasang pembesar suara. Itu pendekatan digunakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menghebahkan pesanan kepada orang awam agar sentiasa berada di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Hari ini, anggota daripada Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) menerbangkan dron di kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur sambil memasang pembesar suara dan siren untuk menarik perhatian orang awam di kawasan berkenaan.

Ternyata, pendekatan teknologi terbaharu itu memudahkan mesej untuk orang awam duduk di rumah dengan lebih baik khususnya di kawasan yang mempunyai kepadatan yang tinggi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, orang awam perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa sepanjang PKP dilaksanakan bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dalam kalangan penduduk ibu kota dan Putrajaya.

“Polis menggunakan pelbagai kaedah untuk menghebahkan mesej PKP kepada orang ramai antaranya menggunakan Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) selain melakukan lawatan berterusan di banyak kawasan terutamanya di zon merah.

“Dalam sekatan jalan raya yang dilaksanakan juga anggota polis dan tentera bertugas akan menyampaikan mesej agar penduduk berada di rumah sepanjang PKP dan hanya keluar untuk membeli keperluan harian,” katanya dalam sidang media ketika melakukan lawatan di Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini.

MAZLAN menunjukkan dron yang digunakan untuk meninjau pergerakan orang ramai di sekitar di Pasar Borong Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
MAZLAN menunjukkan dron yang digunakan untuk meninjau pergerakan orang ramai di sekitar di Pasar Borong Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata, indeks jenayah di Kuala Lumpur dan Putrajaya hanya mencatatkan 48 peratus sepanjang tempoh PKP ini berlangsung sejak 18 Mac lalu.

Katanya, ini perkembangan yang baik khususnya jenayah jalanan membabitkan kes ragut di lokasi tumpuan pelancong di ibu kota manakala jenayah lain juga turut menunjukkan penurunan drastik.

“Pemantauan berterusan juga akan terus dijalankan polis khususnya di kawasan yang sering berlaku jenayah memandangkan banyak premis perniagaan yang kini masih tidak beroperasi,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 2:48 PM