SEORANG lelaki tempatan ditahan polis selepas membunuh rakannya malam tadi di Klang Selangor.
SEORANG lelaki tempatan ditahan polis selepas membunuh rakannya malam tadi di Klang Selangor.
Ruwaida Md Zain

SEORANG lelaki berusia 27 tahun diberkas polis berhubung penemuan mayat seorang lelaki berusia 36 tahun di pangsapuri di Bukit Tinggi Klang di Selangor, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, suspek ditahan kira-kira jam 1.10 tengah hari tadi di Setapak, Kuala Lumpur.

"Suspek mengaku terbabit dalam kes itu dan motif kejadian adalah berpunca daripada salah faham akibat mabuk selepas minum arak bersama di rumah mangsa," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang mempunyai dua rekod jenayah lampau dijumpai orang awam di kawasan tangga pangsapuri berkenaan pada kira-kira jam 7.45 pagi sebelum polis dimaklumkan.

"Siasatan dijalankan di lokasi kejadian bersama bantuan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, mayat dijumpai dalam keadaan tertiarap dengan muka menghadap ke arah tangga.

“Mangsa hanya berseluar pendek warna biru dan tidak berkasut, terdapat tompokan darah yang agak banyak di bahagian muka dan tubuh si mati," katanya.

Menurutnya, bedah siasat dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang mendapati punca kematian mangsa adalah kecederaan serius di kepala akibat pukulan daripada objek tumpul.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 8:17 PM