Abdul Samah (dua dari kiri) bersama sebahagian pegawai polis yang dinaikan pangkat.
Abdul Samah (dua dari kiri) bersama sebahagian pegawai polis yang dinaikan pangkat.

Shah Alam: Identiti mayat lelaki ditemui di lombong tinggal berhampiran Universiti Selangor (UNISEL) di Bestari Jaya, Sabtu lalu, masih belum dikenal pasti.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata, proses mengenal pasti identiti mangsa mengambil masa lama berikutan keadaan mayat mangsa yang sudah mereput.

“Bagaimanapun Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor berjaya mendapatkan sampel cap jari mangsa bagi mengenal pasti identitinya.

“Polis sedang tunggu keputusan sampel cap jari sama ada mangsa rakyat tempatan atau sebaliknya.

“Setakat ini, tiada waris atau orang awam yang tampil membuat laporan berhubung kehilangan ahli keluarga mereka,” katanya dalam sidang media selepas majlis pemakaian pangkat pegawai kanan polis, di IPK Selangor di sini, semalam.

Abdul Samah berkata, orang awam yang kehilangan ahli keluarga atau saksi kejadian diminta tampil untuk membuat laporan bagi membantu siasatan.

Sabtu lalu, pemancing menemui mayat dalam karung dipercayai lelaki ketika memancing di lombong terbabit kira-kira jam 6.40 petang.

Ketika ditemui, mangsa berpakaian seluar pendek berwarna gelap.

Laporan bedah siasat dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang mendapati mangsa mati akibat kecederaan parah di kepala kesan hentakan objek tumpul.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 6:56 AM