SENIOR Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SENIOR Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


BUKAN sahaja di laluan utama, anggota polis juga dikerahkan menjalankan rondaan di kampung dan taman perumahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Ia bertujuan bagi mengelakkan orang ramai berkumpul menjalankan aktiviti riadah termasuk melepak di kedai kopi bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, tugasan dilakukan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) menunjukkan perkembangan baik sejak perintah itu dikuat kuasakan tiga hari lalu.

“Kita dapati orang ramai semakin patuh kepada arahan dan hanya segelintir sahaja yang masih keluar rumah kerana mempunyai alasan yang kukuh dan urusan mustahak.

“Selain itu kita dapati banyak tempat sudah tidak dikunjungi hari ini lebih-lebih lagi apabila solat Jumaat dibatalkan menjadikan jalan raya lengang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdullah yang turut turun padang menyertai rondaan, hari ini, berkata pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas jika masih ada yang berdegil termasuk menghalang arahan anggota polis.

Katanya, orang ramai boleh ditahan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Berhubung bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mulai Ahad ini, Abdullah berkata, langkah itu amat wajar sekiranya keadaan tidak dapat dikawal.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 2:36 PM