SUASANA lengang di pantai Teluk Chempedak berikutan Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO TN Alagesh
SUASANA lengang di pantai Teluk Chempedak berikutan Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO TN Alagesh
Asrol Awang


TIDAK seperti kebiasaan pada cuti hujung minggu, suasana lengang dilihat pantai Teluk Chempedak, Kuantan, hari ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa sejak Rabu lalu.

Tinjauan di pantai peranginan itu mendapati tempat letak kereta tiada kenderaan, kecuali hanya beberapa kereta singgah untuk membeli makanan segera melalui kaunter pandu lalu.

Keadaan itu menunjukkan orang ramai, khususnya warga Kuantan semakin sedar tanggungjawab mereka untuk duduk di rumah jika tiada sebarang keperluan yang mendesak.

Seorang pekerja restoran yang enggan dikenali berkata, sejak perintah terbabit dikuat kuasakan mulai 18 Mac lalu, jumlah pengunjung di premis itu semakin berkurangan.

“Hari ini adalah hari kelima PKP, saya lihat orang ramai semakin sedar akan kepentingan menjaga kesihatan dan patuhi arahan supaya berada di rumah.

“Diharapkan arahan PKP ini dapat dipatuhi sehingga 31 Mac ini untuk menyekat penularan wabak Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Ketua Seksyen dan Korporat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Norkamawati Kamal berkata, pihaknya turut memasang sepanduk bagi memastikan orang ramai mematuhi arahan PKP.

Katanya, antara kawasan berkenaan ialah di Teluk Cempedak, Cherating, Balok dan Pantai Batu Hitam yang sering menjadi tumpuan ramai.

“Anggota penguat kuasa MPK juga akan melakukan rondaan di kawasan berkenaan setiap hari untuk memastikan orang ramai mematuhi perintah itu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 4:41 PM