Siti Rohana Idris

INGIN menziarah saudara sakit, membeli barang dan mengikut kehendak anak yang ingin menikmati makanan segera menerusi khidmat pandu lalu adalah antara alasan tidak munasabah orang ramai yang masih keluar di saat perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan.

Ia diberikan orang ramai kepada pihak berkuasa dalam sekatan jalan raya di Pasir Pekan, di Tumpat, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, ia membuktikan masyarakat masih lagi berdegil dan tidak mengendahkan arahan yang dikeluarkan kerajaan.

“Untuk mengatakan mereka tidak tahu akan arahan itu sudah pasti tidak logik kerana sejak tiga hari lalu bermula dengan pengumuman dibuat, hebahan mengenai perintah kawalan pergerakan sentiasa dilakukan menerusi semua platform,” katanya kepada pemberita, malam tadi.

TIMBALAN Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah (kanan) memberi nasihat kepada orang awam ketika sekatan jalan raya di Jalan Pasir Pekan-Kota Bharu berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan untuk memantapkan kawalan bagi menangani penularan Covid-19 bermula semalam hingga 31 Mac. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Abdullah berkata, kemungkinan orang ramai tidak menyedari bahawa pergerakan yang dibuat mereka sebenarnya memudahkan lagi penularan Covid-19.

Beliau memberi nasihat agar orang ramai kekal berada di rumah dan jangan keluar tanpa alasan yang kukuh.

Mereka juga perlu bertanggungjawab kepada keluarga serta masyarakat.

“Tindakan selepas ini, kita tengok perkembangan bagaimana, jika nasihat masih tidak diendahkan, mungkin akan ada tindakan undang-undang,” katanya.

Abdullah berkata, sekatan jalan raya sempena perintah kawalan pergerakan itu dijalankan serentak di semua daerah selama 24 jam sehingga 31 Mac ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 9:02 AM