FOTO hiasan.
FOTO hiasan.
Baharom Bakar


JURUNIKAH di Terengganu diberi kuasa sepenuhnya menangguhkan pernikahan, jika ada pihak gagal mematuhi langkah pencegahan Covid-19.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad menegaskan, mereka yang sudah diberi kebenaran berkahwin sebelum perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan dicadang menangguhkannya sehingga keadaan pulih.

Bagaimanapun, jelasnya, jika pasangan mahu meneruskan majlis akad nikah, mereka perlu mematuhi tatacara pernikahan dikeluarkan JHEAT.

“Pasangan yang mahu meneruskan majlis akad nikah perlu menggunakan premis sendiri dan ia tidak dilangsungkan di masjid, surau atau di tempat awam.

“Majlis akad nikah juga hanya perlu dihadiri seorang jurunikah, pengantin lelaki dan perempuan, seorang wali, empat saksi serta perjalanan akad nikah hendaklah dipendekkan tidak melebihi 20 minit,” katanya.

Mat Azmi menegaskan, ahli keluarga pasangan diminta menyediakan penutup mulut dan hidung selain pembersih tangan dan cuba elakkan bersalaman.

Tegasnya, ahli keluarga pasangan pengantin juga perlu menyerahkan nama, alamat semasa dan nombor telefon jemputan yang hadir kepada jurunikah.

“Kita juga menasihatkan supaya majlis kenduri ditangguhkan.

“Ahli keluarga pengantin diminta menjarakkan sekurang-kurangnya satu meter dari pesakit yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk, selesema dan sakit tekak,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 9:51 AM