Kuala Lumpur: Orang ramai yang bercadang menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 antara Harimau Malaya dan Vietnam di Stadium Shah Alam, Ahad ini diingatkan supaya menggunakan sistem pembayaran tol elektronik di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataan di sini, semalam berkata, mereka yang mengguna Lebuhraya Persekutuan Laluan 2 (FHR2) untuk ke stadium itu hanya boleh membuat pembayaran menerusi kad PLUSMiles, Touch ‘n Go atau SmartTag kerana bayaran secara tunai tidak lagi dikendalikan di kedua-dua plaza tol berkenaan.

Bagi memudahkan pengguna mendapatkan kad PLUSMiles dan menambah nilai, PLUS menyediakan lorong khas Jualan dan Tambah Nilai yang dibuka 24 jam setiap hari.

Selain itu, kad PLUSMiles pada harga promosi RM5 dan SmartTAG pada harga istimewa RM99 boleh dibeli di Pusat Khidmat Pelanggan di Plaza Tol Batu Tiga, Sungai Rasau, Subang dan Setia Alam.

Penyokong juga disaran supaya menggunakan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) untuk ke stadium. – Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 7:13 AM