GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Rosyahaida Abdullah


SOLAT jemaah termasuk solat Jumaat di seluruh masjid dan surau di Selangor akan ditangguhkan berkuat kuasa hari ini sehingga 17 April depan.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, penangguhan itu turut membabitkan semua aktiviti ceramah dan kuliah agama.

“Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) menzahirkan kebimbangan terhadap kesejahteraan 6.5 juta penduduk Selangor susulan ancaman wabak Covid-19.

“Justeru, baginda bertitah selain solat Jumaat, aktiviti lain khususnya solat berjemaah, ceramah dan kuliah agama (di masjid dan surau) ditangguhkan sehingga 17 April 2020.

“Bagaimanapun, laungan azan hendaklah diteruskan seperti kelaziman bagi menandakan masuk waktu solat,” katanya dalam kenyataan di Shah Alam, hari ini.

Menurutnya, sekiranya wabak Covid-19 dapat diatasi dan dibendung dalam tempoh lebih awal maka satu arahan baru akan dikeluarkan.

Katanya, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut bertitah menggalakkan Qunut Nazilah dibaca semua rakyat bagi memohon perlindungan Allah SWT supaya wabak Covid-19 berakhir dengan segera.

“Baginda juga menasihatkan rakyat Selangor supaya tidak hadir dan berkumpul di tempat awam khususnya mereka yang mempunyai masalah atau simptom penyakit Covid-19 bagi mengelak penularan virus berbahaya itu.

“Rakyat juga diminta mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuat kuasakan Kerajaan Persekutuan demi mencegah penularan baru dan memulihkan keadaan dengan segera,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 4:01 PM