Melvin Joni


MAYAT seorang pencari ketam ditemui tersangkut di pokok bakau berhampiran sungai Tanjung Embang Matang di sini, malam tadi.

Mayat Aswad Mostapha, 39, dari Batu 10, Jalan Matang ditemui penduduk kampung, 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata, pihaknya tidak menerima laporan kehilangan mangsa walaupun keluarganya menyedari dia hilang sejak tiga hari lalu.

“Tiada sebarang laporan polis dibuat oleh ahli keluarga mangsa sejak mangsa keluar rumah dan tidak balik dalam tempoh tiga hari,” katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut Aidil, melalui maklumat diberi ibu mangsa, Maznah Dasar, 64, lelaki terbabit tidak pulang ke rumah selepas keluar mencari ketam.

“Ibunya memaklumkan, mangsa biasanya keluar berseorangan mencari ketam dan ia adalah sumber pendapatannya,” katanya.

Beliau berkata, mangsa juga tinggal bersebelahan dengan rumah ibunya sejak berpisah dengan isteri dan mempunyai dua anak.

Aidil berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 7:24 PM