FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Sri Ayu Kartika Amri


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) bekerjasama dengan pihak swasta bagi perkhidmatan pengambilan sampel Covid-19 di rumah.

Dengan kolaborasi ini, orang awam yang tidak mempunyai gejala boleh menjalani ujian Covid-19 di rumah tanpa perlu hadir ke fasiliti kesihatan.

Menerusi kenyataan dikeluarkan, KKM berkata orang awam boleh mendapatkan perkhidmatan ini dengan memuat naik aplikasi berkaitan bagi menentukan masa lawatan ke rumah bagi tujuan pengambilan sampel.

“Bagaimanapun, perkhidmatan pengambilan sampel Covid-19 ini akan dikenakan caj oleh pihak syarikat swasta berkenaan,” katanya.

KKM turut menasihatkan orang awam mengenai kepentingan penjagaan kesihatan diri yang baik dan sekiranya bergejala, elakkan dari mengunjungi ke tempat awam.

“Dua kaedah mudah ini terbukti mampu mengurangkan penularan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh titisan sekresi pernafasan dalam kalangan komuniti.

“Kaedah ini juga salah satu kaedah yang digunakan oleh negara China semasa menghadapi wabak Covid-19 di negara mereka dan salah satu penyumbang pengurangan kes di China,” katanya.

KKM juga ingin menasihatkan orang ramai agar menangguhkan perjalanan ke luar negara terutamanya ke wilayah atau bandar yang diisytiharkan sebagai kawasan wabak Covid-19 di Republik Rakyat China, Republik Korea, Jepun, Itali dan Iran (seperti yang dimaklumkan sebelum ini).

Sementara itu, KKM berkata pihaknya telah menjalankan survelan Covid-19 bagi mengesan kes terpencil atau sporadik di Malaysia melalui pesakit influenzalike-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) yang tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke negara terjejas atau kontak dengan kes positif Covid-19.

“Sehingga 9 Mac 2020, sebanyak 574 sampel telah diuji dan setakat ini tiada sampel dikesan positif jangkitan Covid-19.

“Berdasarkan maklumat semasa, buat masa ini tiada kes sporadik Covid-19 yang dikesan melalui aktiviti survelan ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 7:40 PM