Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan


SEHINGGA kini, sebanyak 34,113 sampel sudah diambil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) daripada aktiviti survelan di dalam komuniti berkaitan jangkitan koronavirus baharu (Covid-19).

Ketua Pengarah Kesihatan, aktiviti survelan ini penting sebagai sistem pengesanan awal dan sistem amaran awal bagi penularan Covid-19 dalam negara.

Beliau berkata, daripada 34,113 sampel yang sudah diambil, sebanyak 6,100 sampel klinikal survelan dalam kalangan pesakit Influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI).

Katanya, 71 sampel disahkan positif Covid-19 dengan kes ILI sebanyak 8 kes daripada 1,322 sampel, manakala kes SARI membabitkan 63 kes daripada 4,778 sampel.

"Bagi kes SARI terdapat penurunan kes positif Covid-19 yang ketara di antara minggu epidemiologi ke-17 (25 April), yang mana hanya sebanyak tiga sampel disahkan positif daripada 2,168 sampel (0.14 peratus) berbanding minggu epidemiologi ke-12 (28 Mac), yang mana 33 sampel disahkan positif daripada 263 jumlah sampel (11.15 peratus).

"KKM juga memantau keputusan ujian Covid-19 yang dijalankan di sektor swasta, yang mana ujian ini dihantar ke makmal swasta. Didapati 84 kes positif dikesan daripada 22,081 ujian yang dijalankan di makmal swasta ini (iaitu 0.38 peratus)," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM mempergiat aktiviti survelan di dalam komuniti sejak awal lagi di sektor awam dan swasta untuk mengenal pasti aktiviti penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat setempat.

Menurut beliau, selain survelan klinikal ILI dan SARI, pihaknya juga menjalankan saringan Covid-19 bagi anggota kesihatan, persampelan sebelum pembedahan kecemasan di hospital KKM dan persampelan di makmal swasta.

Katanya, persampelan ILI dijalankan di lapan lokasi Klinik Kesihatan KKM seluruh negara yang dikenali sebagai lokasi sentinel (sentinel site) membabitkan persampelan pesakit dengan gejala demam (suhu lebih daripada 38°C), batuk dan sakit tekak, namun tanpa sebarang risiko terdedah kepada Covid-19.

"Sebanyak lima sampel akan diambil dari setiap lokasi sentinel itu dan dihantar ke makmal untuk ujian pengesanan Covid-19 bagi analisa survelan ini.

"Manakala, persampelan SARI pula membabitkan ujian pengesanan Covid-19 untuk semua pesakit dengan jangkitan paru-paru (pneumonia) dari semua hospital KKM di Malaysia," katanya.

Katanya, KKM akan terus menjalankan aktiviti survelan Covid-19, walaupun selepas PKP ditamatkan, bahkan aktiviti itu akan dimantapkan lagi, termasuk sektor swasta membabitkan pelbagai zon.

TIGA beradik di Kampung Pulau Manis, Serada, Kuala Terengganu gembira melihat sampul raya diterima. FOTO Ghazali Kori
TIGA beradik di Kampung Pulau Manis, Serada, Kuala Terengganu gembira melihat sampul raya diterima. FOTO Ghazali Kori

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 6:13 PM