ALEXANDER Nanta Linggi. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ALEXANDER Nanta Linggi. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Samadi Ahmad

PENGGUBALAN Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perlindungan Pengguna 1999 membabitkan urus niaga jualan kredit akan dibentangkan pada sesi Parlimen ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, RUU itu bertujuan memastikan pengguna kredit menerima layanan adil ketika berurusan dengan pemberi kredit.

"Kami bekerjasama dengan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Peguam Negara dan kementerian lain bagi menggubal RUU Langkah Sementara Untuk Mengurangkan Kesan Penyakit Coronavairus dalam memulihkan ekonomi.

"KPDNHEP terbabit secara langsung bagi meminda RUU ini yang akan memperuntukkan larangan pemberi kemudahan kredit untuk mengenakan caj bayaran lewat serta memulakan prosiding undang-undang terhadap pembeli pada tempoh ditetapkan," katanya pada sidang media sempena Majlis Amanat Menteri bersama warga KPDNHEP di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir Timbalannya Datuk Rosol Wahid dan Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Terdahulu, media melaporkan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan kerajaan akan menggubal RUU Covid-19 yang juga adalah pelepasan sementara daripada tanggungjawab perjanjian bagi suatu tempoh yang ditetapkan.

Alaxender berkata, sekiranya pindaan itu dilaksanakan, beban pengguna yang terbabit dengan pembelian jualan kredit dalam tempoh pasca Covid-19 akan berkurangan.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, KPDNHEP akan meneruskan bantuan bekalan makanan di bawah program Food Bank Siswa.

"Lebih 38,000 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara yang terpaksa berada di kampus masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerima manfaat di bawah program ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 4:36 PM