ANGGOTA polis menunjukkan daun ketum yang dirampas dalam serbuan.
ANGGOTA polis menunjukkan daun ketum yang dirampas dalam serbuan.
Oleh Zuliaty Zulkiffli

Jitra: Seorang lelaki bersama dua rakannya mampu hidup mewah dengan memperoleh pendapatan lumayan lebih RM10,000 sebulan hasil menjual serbuk daun ketum yang siap diproses ke negara jiran sejak enam bulan lalu.

Lelaki berusia 40 tahun itu dikatakan memperoleh daun ketum di sekitar kawasan berhampiran dan menjemur daun itu sehingga kering sebelum memproses menjadi serbuk di sebuah rumah rakannya di kawasan Ayer Hitam, di sini dan mengupah mereka yang masing-masing berusia 22 dan 28 tahun itu untuk turut serta melakukan kegiatan itu.

Difahamkan, rumah itu dipercayai menjadi ‘makmal’ memproses serbuk ketum sebelum dibungkus kecil-kecilan untuk dijual ke pasaran Thailand dengan harga RM175 sekilo.

Kegiatan itu akhirnya terbongkar apabila sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu bersama anggota dari Balai Polis Ayer Hitam, di sini, menyerbu rumah berkenaan kira-kira jam 11.50 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, hasil serbuan yang dilakukan menemui sebuah besen mengandungi 4.5 kilogram (kg) serbuk daun ketum yang dipercayai baru diproses dan 13 paket serbuk ketum seberat kira-kira 12 kg di dalam rumah dua tingkat separa batu dan papan itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 7:30 AM