Bungkusan dadah heroin dirampas dari pengedar dadah warga Malaysia. gambar ihsan CNB.
Bungkusan dadah heroin dirampas dari pengedar dadah warga Malaysia. gambar ihsan CNB.
Izlaily Nurul Ain Hussein


SEORANG lelaki warga Malaysia berusia 25 tahun ditahan di Woodlands, Singapura pada 6.30 pagi semalam, selepas didapati cuba menyeludup masuk sekilogram heroin ke republik itu.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pemeriksaan Singapura (ICA) dalam laman web rasminya berkata, pegawai ICA menahan motosikal ditunggang suspek bersendirian.

Ketika pemeriksaan dilakukan, pegawai ICA dan Biro Narkotik Pusat Singapura (CNB) menemui dua bungkusan berisi dadah disembunyikan di bawah tempat duduk motosikal suspek.

"Hasil siasatan awal mendapati bungkusan itu berisi sekilogram heroin yang dianggarkan bernilai RM329,783.89.

“Suspek lelaki itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut oleh pihak CNB," katanya.

Akta Penyalahgunaan Dadah di Singapura memperuntukkan hukuman mati jika jumlah heroin dirampas melebihi 15 gram.

Katanya, 15 gram heroin adalah bersamaan dengan 1,250 penyedut (straw) yang mencukupi untuk bekalan 180 penagih dadah bagi tempoh seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 1:44 PM