BUAH-buahan mengandungi 1,001 khasiat.
BUAH-buahan mengandungi 1,001 khasiat.
Siti Nadirah Hafidzin

Buah-buahan adalah sumber makanan semula jadi yang mudah didapati dengan harga tidak terlalu mahal namun sayang, ia kadangkala dilupakan begitu saja walaupun ramai tahu khasiatnya.

Contohnya kiwi walaupun sangat kecil tetapi ia sumber yang sangat baik untuk magnesium, vitamin E dan serat, di samping mengandungi vitamin C sebanyak dua kali ganda berbanding sebiji oren.

Begitu juga epal sehingga ada pepatah mengatakan pengambilan sebiji sehari boleh mencegah kita berjumpa doktor. Walaupun kandungan vitamin C agak rendah namun ia mempunyai antioksidan dan flavanoid, secara tidak langsung membantu mengurangkan risiko barah kolon, sakit jantung dan angin ahmar.

Oren pula adalah antara ‘ubat’ paling manis. Mengambil dua hingga empat biji oren sehari boleh menjauhkan selesema, mengawal kolesterol, mencegah dan melarutkan batu di dalam buah pinggang serta mengurangkan risiko barah kolon.

Mangga juga mempunyai rahsianya tersendiri dan mungkin ramai yang tidak tahu mengenai manfaatnya dalam membantu membaiki kesihatan seksual, khususnya bagi lelaki.

Banyak manfaat buah-buahan dibuktikan dari segi saintifik dan tidak hairanlah jika ia sering menjadi juadah ‘wajib’ yang disarankan oleh semua pengamal kesihatan buat seisi keluarga.

Selain mempunyai pelbagai vitamin dan antioksidan, buah-buahan juga membekalkan serat. Bagi orang dewasa, pengambilan serat yang diperlukan ialah 20 gram hingga 35 gram sehari manakala kanak-kanak berusia dua tahun ke atas ialah tiga gram hingga 18 gram.

Bagaimanapun, secara purata rakyat Malaysia yang dewasa mengambil kurang daripada 12 gram serat sehari. Antara buah-buahan yang kaya dengan khasiat serat ialah epal, pisang, anggur, kiwi dan mangga.

Mari kita mengenali khasiat buah-buahan yang sentiasa ada di sekeliling kita seperti:

Anggur

Mengurangkan risiko kanser, strok, penyakit jantung dan kehilangan ingatan, antipenuaan, antioksidan, antiradang, menjaga kesihatan kulit, mata, kardiovaskular, kesihatan gastrik, kesihatan saluran kencing dan menentang penyakit gusi.

Oren

Menjaga kesihatan jantung, penglihatan, pelalian dan mengurangkan risiko pelbagai kanser. Ia juga mengandungi antioksidan, membantu perkembangan otak janin dan mengawal tekanan darah.

Epal

Mencegah dementia, mengawal kenaikan berat badan, menurunkan kolesterol, menentang kanser dan antioksidan.

Pir

Antioksidan, menjaga kesihatan kardiovaskular, antiradang, menjaga kesihatan jantung, menyembuhkan luka dan lebam, membaiki tisu, menjaga kesihatan penglihatan, menentang jangkitan, menyokong transmisi saraf dan melawaskan perut.

Kiwi

Membantu mengatasi insomnia, mencairkan darah untuk kesihatan kardiovaskular (menurunkan kolesterol dan trigliserida), membantu membaiki pernafasan kanak-kanak (pendek nafas, berdehit dan batuk malam), mencegah kerosakan kulit yang menyebabkan kanser kulit, menjaga kesihatan penglihatan, kesihatan kolon dan kesihatan prostat.

Pisang

Antikemurungan (membantu membaiki ragam diri dan tidur), antioksidan, mengawal tekanan darah, meningkatkan daya tumpuan dan menguatkan ingatan, meningkatkan tenaga, menjaga kesihatan jantung, mengurangkan risiko kanser, melegakan ciri-birit dan juga sembelit.

Mangga

Antikanser, menjaga kesihatan penglihatan, membantu penghadaman, menjaga kesihatan kulit, membantu membaiki kesihatan seksual, berfaedah bagi anemia dan mencegah selaran panas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2017 @ 11:00 AM