Nurul Hidayah Bahaudin


PERJALANAN lelaki berusia 27 tahun untuk menjemput isterinya yang baru keluar dari hospital selepas melahirkan anak terbantut apabila dia ditahan kerana positif dadah dalam Operasi Selamat (Op Selamat) 16/2020 sempena Tahun Baharu China di Jalan Ampang-Lembah Jaya, di Ampang, malam tadi.

Lelaki yang menunggang motosikal memaklumkan dia dalam perjalanan dari rumahnya di Ampang Jaya ke rumah bapa mertuanya bagi menjemput isterinya yang selamat melahirkan bayi lelaki di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Saya ambil dadah jenis methaphetamin empat hari lalu kerana terlalu penat bekerja sebagai individu yang menyediakan alat muzik di sebuah syarikat swasta.

“Saya tak sangka perjalanan nak menjemput isteri dari hospital jadi begini (ditahan pihak berkuasa),” katanya yang ditemui di lokasi operasi, malam tadi.

Lelaki berkenaan antara tujuh individu berusia antara 20-an hingga 40-an yang ditahan dalam operasi berkenaan selepas didapati positif dadah jenis methaphetamin.

Anggota AADK melakukan saringan air kencing ketika operasi bersepadu sempena Ops Selamat. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Anggota AADK melakukan saringan air kencing ketika operasi bersepadu sempena Ops Selamat. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Operasi bermula jam 9 malam itu membabitkan 43 pegawai dan anggota polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) diketuai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Deputi Superintendan Abd Hamid Omar.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Superintendan Mohd Zaid Hassan berkata, sebanyak 173 kenderaan pelbagai jenis diperiksa dalam operasi itu.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, polis mengeluarkan sebanyak 144 saman membabitkan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tidak memakai tali pinggang keledar, tidak memakai topi keledar, nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi dan langgar lampu isyarat.

“Kami turut melakukan pemeriksaan terhadap 184 individu yang membawa kepada penahanan tujuh lelaki yang didapati positif dadah jenis methaphetamin,” katanya.

Mohd Zaid berkata, dalam operasi sama, JPJ turut mengeluarkan 31 notis atas pelbagai kesalahan kepada pengguna jalan raya.

“Dalam operasi ini, kami menahan dua individu mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 selepas didapati memiliki kereta klon dan cukai jalan palsu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 10:49 AM