Noor Hidayah Tanzizi


ENAM lelaki termasuk tiga yang dikehendaki polis ditahan dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah Pecah Rumah dan Curi Motosikal di sekitar Pantai Remis, Manjung, hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kesemua lelaki berusia antara 20-an hingga 30-an itu ditahan membabitkan kes dadah.

"Polis merampas 0.30 gram methamphetamine dan 2.20 gram heroin daripada dua suspek berkenaan.

"Turut dirampas dua motosikal dipercayai dicuri dan nombor enjinnya turut diganggu usik," katanya hari ini.

Nor Omar berkata, pihaknya turut mengeluarkan 55 notis saman dalam operasi bermula pada 10.30 pagi hingga 3 petang.

Katanya, operasi membabitkan penugasan sekatan jalan raya, rondaan kereta peronda polis (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB), pemeriksaan mengejut (snap check) dan bergerak.

Katanya, operasi yang turut dibantu Majlis Perbandaran Manjung diadakan di jalan utama Pantai Remis, pekan Pantai Remis, ladang sawit dan pekan Changkat Kruing.

NOR Omar (kiri) melihat motosikal yang disita dalam operasi bersepadu di sekitar Pantai Remis, Manjung.  FOTO Noor Hidayah Tanzizi
NOR Omar (kiri) melihat motosikal yang disita dalam operasi bersepadu di sekitar Pantai Remis, Manjung. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Menurutnya, pihaknya turut menyita lima motosikal dan sebuah kereta atas pelbagai pelbagai kesalahan termasuk tiada cukai jalan.

"Dalam operasi ini polis mengeluarkan 55 Saman Pol 257 atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, mengubahsuai nombor pendaftaran, lebih muatan dan tiada cermin sisi.

"Tiada lesen memandu menjadi kesalahan paling tinggi dan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun turut disaman kerana menunggang motosikal tanpa lesen.

"Biarpun remaja itu mendakwa jarak rumahnya dengan kedai dekat sahaja, namun ia tidak sepatutnya berlaku kerana dia masih di bawah umur," katanya.

Sementara itu, Nor Omar berkata, sebanyak 29 premis di sekitar Manjung diarahkan tutup serta merta selepas gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, pemilik tidak menyediakan alat pengimbas suhu, dan tidak menyedia atau mengemaskan kini buku pendaftaran.

"Tindakan diambil mengikut Seksyen 18(1)(f) Akta 342 namun premis boleh beroperasi semula selepas memenuhi dan mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 7:31 PM