KERJA pembinaan Surau As Sobirin SBCR dimulakan sejak dua bulan lalu tetapi masih kekurangan dana. FOTO ihsan Surau As Sobirin SBCR
KERJA pembinaan Surau As Sobirin SBCR dimulakan sejak dua bulan lalu tetapi masih kekurangan dana. FOTO ihsan Surau As Sobirin SBCR
Rosyahaida Abdullah


BAGI mengumpul dana pembinaan fasa tiga Surau As-Sobirin, Sungai Buloh Country Resort (SBCR) di Saujana Utama, Sungai Buloh, pihak pengurusannya menganjurkan pertandingan memancing dan golf amal pada bulan depan.

Pengerusi surau, Ahmad Fakhruddin Husain berkata, pertandingan golf akan diadakan pada 7 Mac ini di Kelab Golf Monterez diikuti pertandingan memancing pada hari berikutnya bertempat di Kolam Pancing AFPROW Saujana Utama.

Beliau berkata, yuran penyertaan sebanyak RM100 dikenakan bagi penyertaan pertandingan memancing manakala RM250 untuk golf.

"Pihak surau berharap dapat mengumpulkan seberapa banyak dana bagi menampung sebahagian kos pembinaan bangunan tambahan surau yang dianggarkan berjumlah RM600,000.

"Kerja pembinaan sudah bermula sejak beberapa bulan lalu, justeru kita amat mengharapkan sumbangan orang ramai termasuk menerusi dua acara ini bagi membolehkan bangunan tambahan terbabit disiapkan sebelum Ramadan ini," katanya.

Ahmad Fakhruddin berkata, kira-kira 30 hadiah ditawarkan kepada peserta bagi acara memancing dengan hadiah utama berupa wang tunai RM2,500 diikuti RM1,000 untuk tempat kedua dan RM700 di tempat ketiga.

"Manakala bagi pertandingan golf pula, sejumlah 30 hadiah menarik juga disediakan kepada peserta selain cabutan bertuah dan makan malam," katanya.

Orang ramai yang berminat menyertai salah satu atau kedua-dua acara terbabit boleh menghubungi Mohd Fadhil Majid di talian 010-3300118 atau Kamarul Azlan Baharin di talian 019-2816316.

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 2 Mac dan bayaran yuran boleh dibuat menerusi akaun Bank Islam di bawah nama SURAU AS-SOBIRIN SBCR nombor akaun 12168010016979.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 7:04 PM