Datuk Roslan Wahab melawat proses Home Surveillance Centre (HSC) di Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) Nilai, Negeri Sembilan tadi.
Datuk Roslan Wahab melawat proses Home Surveillance Centre (HSC) di Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) Nilai, Negeri Sembilan tadi.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

SERAMAI 50 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) diamanahkan tugas membantu menyelia 66 individu yang dikuarantin

di Pusat Pemantauan di Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) Nilai, Negeri Sembilan bermula pagi tadi.

Kesemua mereka yang terlatih akan ditugaskan di AKEPT sehingga tempoh kuarantin bagi pencegahan virus Covid-19 selama 14 hari tamat.

Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab turut berkesempatan melawat proses Home Surveillance Centre (HSC) di AKEPT tadi.

Menurutnya, pihak APM dipertanggungjawabkan untuk menyelaras pengurusan dan pentadbiran operasi di AKEPT bersama anggota Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Difahamkan anggota APM turut dibantu petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Radicare/ Harta dan Khidmat Penterjemah Buddhist Tsu Chi Foundation Taiwan.

Kesemua 66 individu terbabit yang tiba di tanah air dari Wuhan, China, pagi tadi, membabitkan 46 rakyat Malaysia bersama 20 waris dan pasangan bukan warganegara yang terkandas di Wuhan, wilayah Hubei, susulan penularan Covid-19 sejak akhir Disember lalu.

Turut ditempatkan di Pusat Pemantauan itu adalah sembilan petugas misi dan 12 kru penerbangan serta dua pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beijing sehingga keputusan ujian calitan diketahui.

Dua bas pertama yang membawa mereka tiba di AKEPT pada jam 9.50 pagi tadi, manakala dua lagi bas tiba 40 minit kemudian dengan diiringi kenderaan pengiring polis ke kawasan yang menjadi kemudahan kuarantin, terletak kira-kira 24 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Terdahulu, kesemua mereka melalui tapisan kesihatan di Unit Kecemasan Udara (ADU) sebelum dihantar ke AKEPT.

Sebaik tiba di AKEPT, keempat-empat bas yang membawa kesemua mereka dilihat menuju ke sebuah bangunan di bahagian belakang pusat itu dan semua penumpang dilihat memakai penutup hidung dan mulut.

Kesemua penumpang disambut dan diiringi oleh petugas kesihatan memasuki tempat penginapan masing-masing.

Sepanjang berada di Pusat Pemantauan, perhubungan mereka terhad kepada petugas kesihatan dan tiada perhubungan dengan pihak luar dibenarkan termasuk ahli keluarga.

Saringan kesihatan akan dilakukan dua kali sehari bagi memastikan mereka benar-benar sihat dan boleh dibenarkan keluar selepas tamat proses pemantauan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 8:44 PM