NAJIB ketika hadir ke mahkamah, hari ini. FOTO Mustaffa Kamal
NAJIB ketika hadir ke mahkamah, hari ini. FOTO Mustaffa Kamal
Wartawan NSTP

PERBICARAAN kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dihadapi Datuk Seri Najib Razak yang dijadualkan bersambung hari ini, ditangguhkan esok.

BH Online melaporkan ia berikutan Najib perlu hadir pada mesyuarat di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memberitahu mahkamah, selepas menghadiri mesyuarat itu, Najib dipanggil mengadap ke Istana Negara.

Pada masa sama, peguam Farhan Read memberitahu mahkamah, saksi pembelaan iaitu Pengarah Urusan Putra Perdana Construction Sdn Bhd, Datuk Rosman Abdullah yang sepatutnya memberikan keterangan hari ini, masih belum bersedia.

Farhan berkata, pihaknya tidak dapat meneruskan dengan mendengar keterangan Rosman hari ini.

Peguam itu turut memberitahu mahkamah, pihaknya akan memanggil Ketua Pesuruhjaya Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya; bekas Ketua Pesuruhjaya agensi itu, Tan Sri Dzulkifli Ahmad; Bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh; dan bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk memberikan keterangan minggu depan.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 12:18 PM