NAJIB hadir bagi Prosiding Bela Diri terhadap tuduhan kes SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
NAJIB hadir bagi Prosiding Bela Diri terhadap tuduhan kes SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Farah Marshita Abdul Patah


SELEPAS memanggil 19 saksi pada perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta yang mengambil masa 33 hari di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, pihak pembelaan menutup kesnya pada hari ini.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan empat hari bermula 12 Mei ini untuk mendengar hujahan di akhir kes pembelaan sebelum memutuskan sama ada bekas Perdana Menteri itu akan disabitkan kesalahan atau dibebaskan.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa pembelaan menutup kesnya terhadap Najib selepas pemeriksaan utama saksi terakhir, Penolong Pesuruhjaya Forensik Perakaunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Regjit Singh.

“Dengan ini pihak pembelaan sampai ke penghujung kes kami,” katanya.

Sebanyak 807 eksibit ditender dalam perbicaraan selama 91 hari bermula pada 3 April 2019 yang turut membabitkan pelbagai nota prosiding dan kenyataan media dari Peguam Negara.

Pihak pendakwaan sebelum ini mengemukakan 57 saksi.

Najib selaku saksi pembelaan utama memberi keterangan pada perbicaraan hari pertama yang bermula 3 Disember tahun lalu.

Antara saksi utama pembelaan yang mendapat perhatian adalah bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali; Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan Latheefa Koya; Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Najib, 66, yang menjadi perdana menteri keenam pada April 2009 hingga Mei 2018, adalah Perdana Menteri pertama yang dihadapkan ke mahkamah.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu antara 17 Ogos, 2011 dan 10 Februari 2015

Terdahulu, sebaik prosiding bermula kira-kira 10 pagi, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, 52, menyambung semula keterangannya pada sesi pemeriksaan utama oleh Muhammad Shafee.

Menjawab soalan Muhammad Shafee sama ada terdapat cadangan oleh SPRM untuk mendakwa individu lain selain Najib pada 2015, Dzulkifli berkata: “Ada.”

“SPRM mencadangkan supaya beberapa beberapa syarikat berkaitan SRC didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, antaranya Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil dan Bekas Pengarahnya, Datuk Suboh Md Yassin.

“Bagaimanapun bekas peguam Negara pada ketika itu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali meminta SPRM untuk membuka kertas siasatan baharu. Sehingga kini saya tidak mengetahui perkembangan kes ini,” katanya.

Pada prosiding itu juga, Dzulkifli memberitahu mahkamah wang yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib tidak semestinya bermaksud suatu kesalahan kecuali ia dibuat dengan niat dan pengetahuan.

“Bagaimanapun, adalah menjadi satu kesalahan jika wang berkenaan dibelanjakan.

“Kemasukan wang ke dalam akaun tidak semestinya menjadi suatu kesalahan, kecuali dibuat dengan niat dan pengetahuan,” kata Dzulkifli sebelum ini adalah bekas Timbalan Pendakwa Raya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 4:46 PM