NAJIB
NAJIB
BERNAMA

MAHKAMAH Tinggi semalam meminta bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meninggalkan mahkamah ketika mendengar perbicaraan berhubung kes rasuah membabitkan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib, 67, yang memakai kemeja merah berlengan pendek ketika itu duduk di galeri awam di belakang Rosmah yang berada di tempat duduk tertuduh pada jam 10.30 pagi apabila saksi pendakwaan memberikan keterangannya.

Kehadiran Najib disedari Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib yang kemudian memaklumkan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

“Ketika siasatan, MACC (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia-SPRM) merekodkan keterangan Datuk Seri Najib. Ada kemungkinan dia jadi saksi dan saya rasa tidak sesuai dia berada di sini,” katanya.

Peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh memberitahu Najib hadir di mahkamah bagi menyokong isterinya.

“Namanya tiada dalam senarai saksi yang dipanggil pihak pendakwa,” katanya.

Hakim Mohamed Zaini memberitahu, Najib perlu meninggalkan mahkamah, dan berkata, “Sebagai langkah berwaspada, boleh saya minta anda meninggalkan mahkamah?”

Najib menganggukkan kepala sebelum berjalan meninggalkan mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 7:20 AM