Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim belum memutuskan kedudukan Pengerusi Majlis Pimpinan Sabah (MPN), Datuk Sangkar Rakam susulan kemelut kepemimpinan yang dihadapi PKR Sabah ketika ini.

Bagaimanapun katanya, beliau akan membuat keputusan dalam masa terdekat selepas berunding dengan semua Ketua Cabang PKR di negeri ini.

Katanya, Ketua Cabang juga sudah memberi pandangan mengenai soal kepemimpinan tetapi keputusan mengenai kedudukan Pengerusi MPN hanya dibuat selepas konsultasi di peringkat pusat.

"Mengenai pimpinan, mereka beri pandangan pelbagai tentang kedudukan dan saya akan beri keputusan dalam masa singkat selepas berunding dengan Ketua-Ketua Cabang," katanya ditemui pemberita selepas mempengerusikan Perjumpaan Khas MPN Sabah, hari ini.

Perjumpaan itu dihadiri semua Ketua Cabang di Sabah, termasuk Pengerusi MPN Sabah, Datuk Sangkar Rasam dan Naib Presiden PKR, Awang Husaini Sahari.

Hadir sama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud yang juga Ketua Cabang PKR Kota Belud.

PKR Sabah berdepan kemelut kepemimpinan apabila 15 Ketua Cabang diketuai Ketua Cabang Kota Marudu, Sazalye Donol Abdullah pada awal bulan lalu mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Sangkar sebagai Pengerusi MPN Sabah dan meminta beliau mengundurkan diri.

Anwar berkata, beliau akan mempertimbangkan nama yang dicadangkan untuk jawatan Pengerusi MPN itu, namun enggan mendedahkan jika ada nama yang digugurkan.

"Mereka bagi pandangan dan saya akan pertimbangkan dan kita akan rujuk kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP). Ada banyak, berbelas nama (dicadangkan)," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor ketika menghadiri sesi taklimat tertutup di Menara Kinabalu hari ini. FOTO BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor ketika menghadiri sesi taklimat tertutup di Menara Kinabalu hari ini. FOTO BERNAMA

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, beliau terkesan apabila perjumpaan berkenaan turut mengemukakan dua hala tuju penting untuk Sabah.

Katanya, yang pertama MPN Sabah menggariskan keperluan untuk memesatkan program menangani masalah kemiskinan Sabah dengan menoktahkan kemiskinan sebagai keutamaan.

"Kedua adalah bagi memastikan supaya kerjasama persekutuan dengan negeri dalam pengurusan pendaftaran rakyat yang belum mendapat pendaftraan kewarganegaraan, tapi tentunya ia mengikut syarat yang ditentukan oleh negara.

"Jadi, saya terharu kerana fokus itu, masalah kemiskinan dan masalah orang yang tidak mempunyai kartu (dokumen) yang sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 11:31 AM