Hakim Mohd Sabri membenarkan Md Nor dan Ismon masing-masing dibebaskan dengan jaminan RM15,000 dan RM70,000 serta seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 26 Mac untuk sebutan semula kes.
Hakim Mohd Sabri membenarkan Md Nor dan Ismon masing-masing dibebaskan dengan jaminan RM15,000 dan RM70,000 serta seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 26 Mac untuk sebutan semula kes.
BERNAMA

SEORANG penolong pegawai pertanian dan bekas rakan sekerjanya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini masing-masing atas lima dan dua pertuduhan rasuah membabitkan kerja-kerja pembekalan pertanian.

Md Nor Daud, 59, dan bekas rakan sekerjanya yang kini pesara, Ismon Madikon, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Md Nor yang bertugas di Bahagian Pertanian Bandar, Jabatan Pertanian Putrajaya, didakwa atas dua pertuduhan memberi suapan wang tunai berjumlah RM1,500 dan RM33,288 kepada Idris Awab iaitu setiausaha Koperasi Pegawai-pegawai Melayu Jabatan Pertanian Berhad dengan cara memindahkan wang daripada akaun Maybank milik Mondatech Dot Com kepada akaun Maybank milik Noorizan Hassan.

Ia adalah sebagai balasan kerana Idris memberikan kerja pembekalan bagi sebut harga untuk Bahagian Pertanian Bandar, Putrajaya, kepada tertuduh melalui Syarikat Gemilang Horticulture Solutions.

Md Nor didakwa melakukan kesalahan itu pada 8 Julai 2015 dan 26 Ogos 2015 mengikut Seksyen 16 (b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1)(a)(b) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ismon pula menghadapi lima pertuduhan iaitu sebagai penolong pegawai pertanian (ketika kejadian) yang menerima arahan daripada penolong pengarah Saifulbahri Abdul Mutalib untuk mencari pembekal luar bagi kerja pembekalan membekal dan menghantar input pertanian; membekal dan menghantar Planter Box; membekal dan menghantar media tanaman; bahan Green Amino dan Plant Buster serta tanah campuran dan Bio Repellent di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur, didakwa menggunakan kedudukan itu untuk suapan bagi dirinya.

Ia apabila tertuduh menyediakan sendiri sebut harga dan mengarahkan Abd Aziz Abd Karim menyediakan sebut harga atas nama tiga syarikat iaitu Syarikat Hijerah Jaya Enterprise, Syarikat Teras Teguh Niaga dan Syarikat A Lips Enterprise bagi tujuan mendapatkan kerja-kerja pembekalan itu yang masing-masing berjumlah RM47,916.80, RM45,900, RM44,936, RM7,916.16 serta RM17,260.80.

Ismon didakwa melakukan kesemua kesalahan di Medan Niaga 8 Lot, Kampung Datuk Abu Bakar Baginda, Kajang dekat sini, antara 2 Nov 2016 dan 13 Mac 2018 mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 24 (1) akta sama, memperuntukkan hukuman serupa.

Hakim Mohd Sabri membenarkan Md Nor dan Ismon masing-masing dibebaskan dengan jaminan RM15,000 dan RM70,000 serta seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 26 Mac untuk sebutan semula kes.

Beliau turut memerintahkan kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam melapor diri di ibu pejabat SPRM di Putrajaya setiap awal bulan sehingga kes selesai.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin mencadangkan jaminan RM15,000 kepada Md Nor manakala Ismon RM150,000 atas alasan kedua-dua tertuduh melakukan perancangan cukup baik bagi mendapatkan habuan untuk diri sendiri.

"Mohon mahkamah jangan lihat nilai suapan yang terbabit tetapi lihat rancangan bijak yang digunakan oleh kedua-dua tertuduh untuk mendapatkan suapan. Sudah bermacam-macam cara sekarang untuk seseorang melakukan perbuatan rasuah," katanya yang turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 6:20 PM