Siti Rohana Idris


DILAHIRKAN tanpa kedua belah tangan, bukan tiket untuk seorang wanita berpeluk tubuh.

Sebaliknya wanita kental, Laila Setapa, 39, dari Kampung Sungai Pas, Kuala Krai, itu mampu melakukan apa sahaja pekerjaan.

Mereka yang pertama kali melihat keadaan fizikal Laila yang tidak memiliki sepasang tangan sehingga paras bahu pasti memikirkan banyak kesulitan dihadapinya.

Namun, kemampuan Laila yang tidak kekok mengguna pisau, memasak, menulis dan memasukkan benang ke dalam jarum menggunakan kaki pasti membuatkan ramai terpegun.

LAILA tidak kekok mengguna pisau ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Pas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
LAILA tidak kekok mengguna pisau ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Pas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Baginya, tiada apa yang menyukarkannya kerana sejak lahir kakinya bukan sahaja digunakan untuk berjalan tetapi menggantikan tangan untuk menguruskan diri, melakukan kerja rumah dan bekerja untuk kelangsungan hidup.

“Selepas tamat sekolah, saya bekerja di beberapa pasar raya di sekitar Kuala Krai dan tiada masalah untuk saya membuat kerja seperti orang lain seperti menyusun barang dalam kedai.

“Selain itu, saya juga pernah bekerja di bengkel jahitan dan diberi tugas menjahit butang, kelim tangan dan menampal manik.

“Mungkin bagi orang lain kerja menjahit tidak mampu dilakukan oleh orang seperti saya, namun kaki ini langsung tidak kekok memasukkan benang ke dalam jarum dan menjahit,” katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

LAILA yang tidak memiliki sepasang tangan sehingga paras bahu tidak kekok menulis dengan menggunakan kaki ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Pas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
LAILA yang tidak memiliki sepasang tangan sehingga paras bahu tidak kekok menulis dengan menggunakan kaki ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Pas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Ditanya mengenai pengalamannya ketika berada di bangku sekolah, Laila yang juga anak ketujuh dari sembilan beradik itu berkata, dia dilayan seperti pelajar lain cuma akan diberikan kerusi tambahan yang berfungsi sebagai meja ketika menulis.

Dia berkata, sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia pernah ditawarkan melanjutkan pengajian ke sebuah kolej di luar Kelantan.

Namun, katanya, keluarga berat untuk melepaskannya kerana bimbang berdepan kesukaran akibat kekurangan dimiliki.

Laila kini tinggal bersama ibunya, Minah Awang Lah, 75, selepas semua adik beradik lain sudah berumah tangga.

LAILA mampu melakukan apa sahaja kerja seperti mereka yang normal ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Pas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
LAILA mampu melakukan apa sahaja kerja seperti mereka yang normal ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Pas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

“Memandangkan mek (ibu) pun tidak larat, saya yang biasanya memasak. Semua proses termasuk menyiang ikan atau ayam, mengopek bawang hingga memasak memang tiada masalah bagi saya.

“Hanya jika ingin membuat masakan menggunakan santan sahaja saya memerlukan bantuan mek untuk memerah kelapa yang dimesin,” katanya.

Ditanya mengenai jodoh Laila berkata, dia tidak terlalu memikirkan hal itu, tetapi pada masa sama tidak menolak andainya dipertemukan dengan lelaki yang boleh menerima kekurangannya.

“Saya sering terfikir jika berkahwin nanti, mungkin akan membebankan orang... Disebabkan itulah saya tidak terlalu memikirkan soal jodoh dan serahkan pada Allah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 2:06 PM