WANITA memeluk anaknya selepas dia ditahan AADK kerana positif dadah bersama anak lelaki sulungnya, semalam. FOTO ihsan AADK.
WANITA memeluk anaknya selepas dia ditahan AADK kerana positif dadah bersama anak lelaki sulungnya, semalam. FOTO ihsan AADK.
Noor Hidayah Tanzizi


WANITA dan anak lelaki sulungnya ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas mereka didapati positif dadah di sebuah rumah di Chikus, Langkap dekat Teluk Intan, semalam.

Dua beranak itu ditahan anggota AADK Hilir Perak dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Chenderong Balai dalam Operasi Bersepadu Khas pada 10 pagi.

Pihak berkuasa turut menyelamatkan tiga lagi anak wanita terbabit termasuk bayi berusia empat bulan susulan penahanan itu.

Ketua Pegawai AADK Hilir Perak, Najmiah Hanafi berkata, mereka ditahan bersama dua individu lain ketika sedang tidur di rumah berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, rakan mereka iaitu lelaki dan wanita berusia 19 dan 29 tahun itu dibebaskan selepas ujian awal saringan air kencing dijalankan mendapati mereka negatif dadah.

“Dua beranak itu didapati positif dadah iaitu wanita berusia 35 tahun positif opiat manakala anak lelakinya berusia 19 tahun pula positif methamphetamine.

“Mereka dipercayai sudah terbabit dalam penyalahgunaan dadah sejak beberapa tahun lalu,” ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dalam serbuan itu, mereka turut menemui tiga lagi anak wanita terbabit termasuk bayi berusia empat bulan di rumah yang dalam keadaan daif dan tidak terurus.

“Keadaan bayi itu tidak terurus dan ibunya hanya memberi air masak kepadanya kerana wanita itu tidak berkerja dan tidak mempunyai sumber pendapatan.

“Seorang anak wanita itu yang berusia lapan tahun tidak bersekolah manakala dua lagi yang berusia empat tahun dan bayi terbabit tidak mempunyai sijil lahir,” katanya.

Najmiah berkata, operasi itu dijalankan secara bersama dengan agensi lain untuk membantu dua beranak terbabit mendapatkan rawatan dan keluar daripada belenggu penagihan dadah.

Beliau berkata, dua beranak itu ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan anak yang ditinggalkan akan mendapat perlindungan sewajarnya.

Katanya, pihak JKM membawa tiga anak suspek ke Klinik Kesihatan Chenderong Balai untuk pemeriksaan dan dirujuk ke Hospital Teluk Intan untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 11:16 AM