ADUN Dengkil Adhif Syan Abdullah
ADUN Dengkil Adhif Syan Abdullah
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS masih menunggu hasil laporan ujian saringan air kencing kali kedua daripada pakar patologi berhubung kes 17 individu termasuk seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ditahan di sebuah kondominium di Jalan Puchong pada 12 Januari lalu.

Timbalan Pengarah (Risikan dan Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Mohd Roze Shaari berkata, tindakan susulan akan diambil sejurus menerima laporan berkenaan.

“Kami masih menunggu keputusan laporan itu. Saya tidak boleh memberi satu tempoh masa bila polis dijangka akan menerima laporan terbabit.

“Sebarang perkembangan lanjut berkaitan kes itu akan dimaklumkan kemudian,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Pada 28 Januari lalu, Pengarah JSJN Bukit Aman ketika itu, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dilaporkan berkata, polis sudah menjalankan ujian saringan air kencing untuk kali pertama dan ujian kedua diserahkan kepada pakar patologi untuk mendapatkan pengesahan.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dipetik berkata, JSJ Bukit Aman akan mengeluarkan kenyataan sekiranya laporan berhubung kes berkenaan diperolehi nanti.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan ADUN Dengkil Adhif Syan Abdullah ditahan bersama 16 individu lain dalam serbuan di sebuah kondominium yang disyaki menjadi tempat penyalahgunaan dadah dan judi.

Hasil saringan awal dilakukan terhadap 17 individu termasuk enam wanita yang ditahan itu, 16 daripada mereka didapati positif dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 10:36 PM