ABDUL Hamid. FOTO Mohd Yusni Ariffin
ABDUL Hamid. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Raja Noraina Raja Rahim


POLIS masih menunggu laporan daripada pakar patologi berhubung ujian air kencing terhadap 16 individu disyaki positif dadah ketika serbuan di sebuah kediaman di Jalan Puchong di Selangor, 13 Januari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, laporan itu bagi mendapatkan keputusan tepat selepas saringan ujian pertama dilakukan pihaknya.

“Ia adalah prosedur biasa bagi mendapatkan keputusan tepat. Apabila keputusan ujian saringan air kencing yang pertama didapati positif, kita akan hantar ujian itu kepada pihak patologi.

“Pakar patologi akan menjalankan saringan kedua bagi mendapatkan keputusan lebih tepat. Siasatan lanjut kes itu juga masih diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan video korporat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, polis menahan 17 individu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah dalam serbuan pesta dadah di sebuah rumah di Jalan Puchong, pada 4.40 pagi, 13 Januari lalu.

Dalam serbuan berkenaan, 16 daripada 17 individu itu termasuk enam wanita, didapati positif dadah ketamin, selain polis turut merampas 0.8 gram serbuk ketamin.

Bagaimanapun, Adhif Syan ketika ditemui Harian Metro mengakui berada dalam kejadian itu, namun menafikan beliau ditahan polis kerana positif dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 1:42 PM